the reason behind the lost ???

Abdullah perlu pikul tanggungjawab kekalahan - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 9 Mac - Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata bahawa
penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu memikul
tanggungjawab sepenuhnya bagi kekalahan teruk yang dialami Barisan
Nasional (BN) dalam pilihan raya umum semalam.

"Beliau patut memikul tanggungjawab dalam soal ini, seperti
kemenangan besar-besaran pada 2004 yang dilaporkan disebabkan oleh
kewibawaan beliau, 100 peratus, dan itulah yang dikatakan oleh
Setiausaha Agung UMNO pada ketika itu.

"Tetapi sekarang beliau juga patut memikul tanggungjawab itu 100 peratus.

Beliau telah memusnahkan UMNO, beliau telah memusnahkan BN, dan
beliau patut bertanggungjawab bagi kekalahan teruk ini," katanya pada
sidang akhbar yang diadakan beberapa jam selepas keputusan pilihan raya
diumumkan, di sini.

Dr. Mahathir berkata, amat mengejutkan bahawa BN tumbang di lima
negeri dan Wilayah Persekutuan menerusi isyarat serupa yang ditunjukkan
oleh semua tiga kaum utama - Melayu, Cina dan India.

"Saya fikir orang Jepun akan melakukan harakiri. Tetapi saya rasa
orang Melayu tidak sampai ke tahap itu lagi. Saya fikir beliau patut
menimbangkan untuk mengundurkan diri," katanya sambil menambah beliau
juga akan mengambil tindakan yang sama jika beliau berada dalam situasi
seperti Abdullah.

Kepada soalan sama ada BN telah tersilap perkiraan dengan mengadakan
pilihan raya umum lebih awal, Dr. Mahathir berkata beliau tidak yakin
bahawa dengan menangguhkannya setahun lagi akan membawa sebarang
perbezaan daripada segi keputusannya, kerana rasa tidak puas hati
rakyat terhadap pentadbiran Abdullah sudah tidak dapat dibendung lagi.

"Empat tahun selepas pilihan raya umum lepas, beliau telah melakukan
banyak perkara yang salah tetapi mereka ini (media) terus melaporkan
betapa rakyat menyayanginya," kata bekas Perdana Menteri itu.

Pelbagai isu yang membawa kepada rasa tidak puas hati terhadap
kerajaan termasuk persepsi bahawa di sebalik angka pertumbuhan ekonomi
yang tinggi diumumkan oleh kerajaan serta pelancaran wilayah-wilayah
pembangunan, rakyat di peringkat akar umbi tidak berasa apa-apa
(faedahnya).

"Mereka mendapati bahawa kerajaan ini ditadbir oleh sebuah keluarga
bagi kepentingan keluarga itu. Selagi wujud keadaan lebih mengutamakan
keluarga daripada Kabinet, kerajaan sendiri, saya fikir rakyat akan
mahu menentang mereka," katanya.

Kepada soalan lain, Dr. Mahathir berkata, bagaimanapun terserah
kepada UMNO untuk memutuskan mengenai pengganti Abdullah sekiranya
beliau meletakkan jawatan, atau mungkin Datuk Seri Najib Tun Razak
boleh mengambil alih.

"Datuk Seri Najib telah meraih kemenangan mengagumkan, lebih baik
daripada keputusan pada 2004 yang merupakan tahun terbaik bagi BN.
Majoriti yang diperoleh beliau meningkat manakala kemerosotan undi
Abdullah agak ketara," katanya.

Dr. Mahathir berkata sebuah kerajaan yang dibentuk dengan majoriti
mudah adalah sebuah kerajaan yang lemah terutama dalam sebuah negara
berbilang kaum yang antara lain boleh menyebabkan ketidakstabilan, dan
kemudiannya menjejaskan keyakinan pelabur.

Beliau, bagaimanapun, berkata masih ada harapan bagi BN untuk
memperbetulkan keadaan itu dengan syarat mereka mesti memberi perhatian
terhadap isyarat yang diberikan oleh rakyat.

Kepada satu lagi soalan, Dr. Mahathir berkata beliau percaya ia
pastinya sukar bagi Abdullah untuk mengundurkan diri secara sukarela
kerana, sehingga kini, Abdullah masih tidak cuba memahami kerumitan
daripada kekalahan itu dan sebaliknya menyalahkan orang ramai bagi
kekalahan itu.

Melahirkan rasa sedih beliau dengan kekalahan itu, bekas Perdana
Menteri berkata, beliau tidak menjangka yang BN akan kalah seteruk itu.

Mengenai kebangkitan semula Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan
raya ini, Dr. Mahathir berkata beliau percaya bahawa Anwar masih
"relevan" tetapi beliau sama sekali tidak akan menjadi Perdana Menteri
negara ini.

Ditanya mengenai kemungkinan pembangkang memenuhi janji mereka
seperti yang dinyatakan dalam manifesto mereka, kata Dr. Mahathir:
"Mereka hanya membuat janji itu kerana mereka tidak fikir yang mereka
akan membentuk kerajaan tetapi saya sangsi yang mereka dapat menunaikan
janji apabila mereka menawan lima negeri."

Dr. Mahathir berkata, beliau akan terus memainkan peranan sebagai
seorang warganegara dengan menyuarakan dan berkongsi pendapatnya jika
perlu.

"Saya tidak mahu sebarang gelaran rasmi, menteri kanan atau
penasihat tetapi jika mereka datang kepada saya dan meminta nasihat
saya, saya bersedia untuk berkongsinya demi faedah negara," katanya.

Mengenai kemenangan anaknya Datuk Mukhriz di kawasan Parlimen
Jerlun, beliau berkata ia cuma kejayaan biasa, meskipun dengan majoriti
lebih besar.

Leave a Reply